Khamis, 8 Oktober 2015

Harta Karun?


    Pada suatu hari Hasan pergi balik ke kampung dan pergi membersihkan rumah datuknya, dijadikan cerita rumah datuknya adalah warisan pusaka turun temurun dan semasa membersihkan rumah tersebut Hasan telah menemui sekeping surat lama bertulisan jawi yang pelik rupanya, Surat tersebut berbunyi 



“Harun anakku (nama atuk Hasan) ayahanda amat risau akan kehidupan kamu setelah ayahanda tiada, oleh itu ayahanda telah meninggalkan sedikit harta yang sengaja ayahanda sorokkan dari kamu selama ini, kerana ayah khuatir keadaan negeri kita yang dalam penjajahan, ayahanda khuatir ianya dirampas penceroboh kita sedangkan kamu masih kecil untuk mengerti apa yang berlaku. Harta tersebut telah selamat ayahanda tanam di perdu pokok Durian Tembaga di belakang rumah kita, galilah lebih kurang sehasta diperdu pokok yang menghadap matahari naik, semoga ianya berguna padamu bila kamu dewasa kelak”

    Dengan semangat yang membara Hasan berlari mendapatkan datuknya Harun dan datuknya turut membaca surat tersebut. Oleh kerana hari masih siang Hassan mencadangkan mereka menggali harta tersebut hari ini juga dan datuknya bersetuju. Hasan bersama datuknya pergi ke satu-satunya pokok durian tembaga dibelakang rumahnya dan mula menggali, lebih kurang 20 minit menggali cangkul hasan berlaga dengan benda keras seakan besi. Dengan berhati hati dia mengorek dan cuba mengeluarkan benda tersebut ternyata ianya sebuah peti kayu yang kemas buatannya dan di disemat dengan besi di sudut peti untuk mengukuhkanya.





    Peti ini berjaya dikeluarkan sekalipun agak berat, tetapi Hasan berasa sedikit hairan kerana peti ini tidak seberat mana walaupun peti agak besar. Tapi apa sekalipun mereka membawa peti ini naik ke rumah datuknya untuk dibuka agar jauh dari mata orang-orang kampung yang mungkin melihat. Walaupun telah berusia lama namu peti ini amat kukuh buatannya, tidak berkunci tetapi selak besi telah berkarat dan sukar dibuka, akhirnya setelah bersusah payah peti ini Berjaya dibuka dan Jeng jeng jeng…

    Peti ini penuh dengan duit, duit yang sangat banyak, sesungguhnya Hasan tidak pernah melihat duit yang sebanyak itu seumur hidupnya, namun bagai terjaga dari mimpi barulah hasan sedar semua itu duit masa perang Jepun, duit yang dicetak oleh Tentera Jepun masa penakhlukan Tanah Melayu satu masa dulu. Dalam hatinya terdetik duit ni mana laku lagi, Hasan hampa dan kecewa sedangkan datuknya ketawa berdekah-dekah sambil berkata duit ni semua mana laku, ini duit yang orang tua dulu gelar duit Pokok Pisang bila jepun Kalah duit ni orang dah tak pakai dah.





    Enggan menerima kekecewaan Hasan mengeluarkan kesemua duit tersebut dari peti, ikatan demi ikatan, hingga kesemua duit tersebut dikeluarkan dari peti, dan akhirnya terubat kekecewaan Hasan terdapat satu peti kecil di bawah ikatan-ikatan duit jepun dan apabila di buka terdapat rantai emas,dan gelang emas di dalamnya, namun sebelum perasaan tamak menguasai dirinya dia tahu semua ini adalah peninggalan Bapa kepada datuknya untuk datuknya dan Hasan menyerahkan peti kecil itu kepada datuknya. Datuknya hanya tersenyum melihat gelagat Hasan lalu mengambil peti tersebut dan membelek-belek rantai emas yang kekuningan, dan menyerahkan semula pada Hasan dan berkata Hasan nenek kamu pun dah lama meninggal dunia, bawalah pulang emas ini atuk tak perlukannya bagilah pada ibu kamu, ibu kamu pun anak atuk juga biarlah dia warisi emas ini, Hasan tersenyum gembira sekurang-kurangnya dia tahu ibunya akan gembira bila dia membawa pulang emas ini ke rumah esok, Sekian.





Nota: Cerpen ini adalah rekaan semata-mata tiada kaitan dengan yang hidup taupun yang telah meninggal dunia, sekiranya terdapat persamaan maka ianya adalah kebetulan semata-mata J.



Pengajaran Disebalik Kisah Ini.

    Duit kertas, yang pada asalnya kertas adalah selama-lamanya kertas ianya tidak bernilai dan hanya bersandarkan keyakinan orang ramai bahawa kertas itu bernilai seperti nombor yang tercatat diatasnya. Sedangkan emas adalah emas dan nilainya berada dalam setiap gram hatta setiap milligram emas tersebut. Ibarat seorang pendulang emas yang tekun melihat tidak kira berapa halus butiran bijih emas namun tetap dengan teliti dikumpulkan ditimbang dan dijual.

    Di Malaysia wang Pokok Pisang Jepun yang juga dikenali sebagai "Japanese Invasion Money" atau "Japanese Occupation money" adalah satu contoh betapa dasyatnya kesan Inflasi pada kehidupan masyarakat. Duit dicetak sewenang-wenangnya hingga melebihi penawaran wang daripada permintaanya menyebabkan akhirnya harga barangan naik tak terkawal sedangkan duit yang disimpan dalam peti pun tidak akan selamat kerana Inflasi merampas nilainya tanpa perlu menyentuh pun duit tersebut. Berbeza dengan emas dan perak biar tertanam ribuan tahun emas tetap emas dan ianya tetap bernilai.

    Mengambil kira kisah Hasan diatas Wang zaman Jepun pada hari ini tidak lagi mempunyai nilai di pasaran, kerana bukan lagi merupakan satu mata wang yang sah digunakan disisi undang-undang Negara, yang mana pada masa ini telah digantikan dengan duit yang kita kenali sebagai Ringgit Malaysia (RM). Hasan boleh menjual wang jepun sebagai barangan koleksi namun pengumpul atau “collector” wang lama bukanlah semuanya kaya dan mampu membeli wang lama dengan harga mahal, lagipun faktor harga adalah dipengaruhi faktor “rarerity” barang tersebut sebagai contoh Wang jepun masih banyak disimpan, mudah diperolehi dan harganya agak murah, manakala pembeli dari kalangan pengumpul duit lama terlalu sedikit bayangkan ada sepeti duit lama namun pembeli Cuma mahu beli sekeping dua sahaja habis-habis pun tak laku akhirnya simpan lah sendiri.




    Sebagai contoh gambar diatas adalah wang jepun yang dijual di laman web popular walaupun nombor diatas duit jepun menunjukkan $100 dollar namun Cuma dijual RM24.82 itupun nasip kalau ada yang mahu membeli barang sekeping dua, Berbeza dengan Emas mungkin seutas rantai emas pada masa penjajahan jepun boleh dibeli dengan 100 dolar Jepun (Sebelum Inflasi Duit Jepun), tetapi jika disimpan ke hari ini harganya boleh dijual mececah ribuan ringgit, dan tiada masalah mana-mana kedai emas untuk menerimanya. Kedai emas Cuma akan menguji ketulinan emas menimbang dan menawarkan harga pasaran semasa. Sedangkan wang zaman jepun tak laku sekalipun dibawa ke Bank di Negara Jepun ianya tidak akan diterima. memadailah kisah ini untuk kali ini Insya Allah akan saya tulis sedikit pengetahuan kewangan dan perkara mengenai pelaburan di masa hadapan agar sama-sama boleh berkongsi pengetahuan sekalipun bukan untuk jadi kaya raya namun dapat memahami apa itu inflasi dan kaedah-kaedah mengurangkan kesan-kesanya kepada diri dan keluarga kita  Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan